AHAD, 7 DISEMBER 2014 @
4:18 AM
Tangani isu PATI di Sabah secara bijaksana
Jeniri Amir
rencana@bh.com.my
Jika anda ke Sabah, pasti anda akan terserempak dengan begitu
banyak warga asing, terutamanya dari Filipina dan Indonesia. Sebahagian
daripada mereka sudah berjaya menyebatikan diri ke dalam masyarakat tempatan
sehingga sukar untuk mengenal pasti sama ada mereka orang tempatan atau asing.
Lebih-lebih lagi wajah dan gaya pertuturan mereka seperti orang Sabah. Isu
pendatang asing tanpa izin (PATI) dan isu kewarganegaraan di Sabah sudah
menjadi duri dalam daging dan membengkak sehingga bernanah. Isu ini perlu
ditangani dengan bijaksna dan kesungguhan politik yang tinggi. Kita tidak boleh
menyoroknya di bawah karpet atau berpura-pura ia tidak wujud. Sebab, lagi lama
masalah ini kita biarkan, lagi mudarat untuk masa depan Sabah dan negara ini.
Orang Sabah perlu dibela. Kebanjiran PATI di Sabah bukan saja boleh menimbulkan
masalah dari segi kedaulatan negara pada jangka panjang, tetapi boleh
mencetuskan masalah sosial, politik, ekonomi dan keselamatan. Ia boleh menjadi
bom jangka yang bakal meledak pada bila-bila masa. Penduduk Sabah hanya 651,304
orang pada tahun 1970, dan meningkat kepada 929,299 sedekad kemudian. Hanya
dalam tempoh dua dekad selepas 1980, penduduk negeri itu naik 1.5 juta, dan
mencecah 2,468,246 menjelang tahun tahun 2000. Dalam tempoh tiga dekad, antara
tahun 1970-2000, mengikut laporan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja mengenai
pendatang asing, peningkatan penduduk Sabah adalah 301 peratus, berbanding
Sarawak 106 peratus, dengan peningkatan terbesar sebanyak 78 peratus pada tahun
1991. Media melaporkan sejak tahun 2010, jumlah itu mencecah 3.12 juta, dengan
rakyat asing meningkat sebanyak 27 peratus atau 889,799 orang. Perlu tindakan
segera Tindakan segera dan pragmatik perlu dilakukan agar segala usaha
penyiasatan, tidak sia-sia. Syor yang terkandung dalam laporan RCI agar
ditubuhkan sekretariat kekal bagi mengatasi masalah pendatang asing tanpa izin
di Sabah perlu disegerakan. Mengapakah kita begitu mudah membiarkan rakyat
asing memasuki dan membolosi negara ini, dan membiarkan mereka terus menetap
sebagai pendatang tanpa izin? Berapa kalikah kita perlu mengadakan operasi
pemutihan? Di sebalik isu pendatang asing dan memberi kewarganegaraan kepada mereka,
isu pekerja asing juga tidak boleh diambil mudah. Mengikut angka kerajaan,
sebanyak 1.58 juta pekerja asing berdaftar untuk bekerja di negara ini sehingga
Julai lalu. Jumlah pekerja asing tanpa izin di negara ini dikatakan dalam
lingkungan antara 480,000 hingga sejuta orang, terutama dalam sektor pembinaan,
perladangan, dan pembuatan. Yang memburukkan keadaan adalah apabila dikatakan
dua daripada sepuluh warga asing yang memasuki negara ini secara sah, tidak
keluar semula. Tindakan tegas perlu diambil terhadap mereka yang didapati
bersekongkol atau terbabit dalam kegiatan penyalahgunaan kuasa dan rasuah
sehingga golongan terbabit mudah memasuki negara ini, seterusnya mendapat kad
pengenalan, sijil beranak serta dokumen rasmi lain. Kita tidak harus pandang
bulu jika mahu masalah ini dapat ditangani dengan berkesan. Memang diakui
bahawa pihak imigresen telah mengambil tindakan tertentu terhadap golongan
PATI. Misalnya, 446,173 orang pelarian dan pendatang tanpa izin di Sabah telah
diusir ke negara masing-masing sejak tahun 1990 sehingga tahun 2012. Sementara
itu, kehadiran golongan tanpa sijil dan dokumen rasmi lain turut menimbulkan
masalah, terutama mereka yang berkahwin dengan rakyat Sabah. Masalah ketiadaan
dokumen pengenalan diri berlaku bukan saja di Sabah, tetapi juga di Sarawak,
khususnya dalam kalangan mereka yang tinggal jauh di pedalaman. Ketiadaan
dokumen berkenaan menyukarkan mereka untuk hidup normal, termasuk menikmati hak
sebagai warganegara. Penguat kuasa usah 'rabun mata' Kelihatannya, segala usaha
kita selama ini, bagai mencurahkan air ke daun keladi. Persoalannya, berapa
orang majikan yang menggaji pendatang asing tanpa izin, dikenakan hukuman
setimpal? Berapa orangkah warga asing berkenaan yang telah disebat dengan
rotan? Apakah yang tindakan yang telah diambil terhadap pegawai penguat kuasa
yang rasuah dan menyalahgunakan kuasa? Pegawai penguat kuasa dan mereka yang
bekerja di barisan depan, perlu mempunyai integiriti yang tinggi. Mereka tidak
harus rabun mata. Kita tidak boleh terus membiarkan gejala harapkan pegar,
pegar makan padi, berterusan. Kita perlu pertahankan kedaulatan negara, dan
beri jaminan bahawa negara ini selamat daripada sebarang bentuk ancaman. Kita
tentu tidak mahu pisang berbuah dua kali. Biar tragedi di Lahad Datu menjadi
pengajaran berguna kepada kita semua. Yang penting, negara ini tidak mudah
dibolosi dan didominasi warga asing tidak sah. Duri dalam daging di Sabah perlu
segera dicabut.
Penulis ialah pensyarah di Universiti Malaysia Sarawak
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/21858
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/21858
Portal Isu Semasa dan Berita NO.1 di Malaysia
Warga Asing di Sabah Tidak Lama Lagi Bakal Jadi Majoriti & “Menjajah Negeri Sabah”?
Ini bukan angan-angan Mat Jenin semata & tidak mustahil sama sekali untuk warga asing di Sabah bakal menjadi majoriti, kerana disediakan sekali dengan statistik yang jelas untuk anda perhatikan taburan warga asing di Sabah mengikut daerah.
Kalau disemak rekod melalui Jabatan Perangkaan Malaysia, jumalah penduduk negara Sabah sudah pun mencecah sekitar 3.2 juta. Malangnya di sini jumlah warga asing di Sbah terus mengekori rapat di belakang peratusan ketika ini sudah pun mencecah 27%. Adakah jumlah tersebut akan menurun? Tidak mungkin. Tetapi…..adakah mungkin jumlah warga asing di Sabah akan terus bertambah. Mungkin…tiada mustahil kalau ada banyak lagi “projek-projek yang diatur di Sabah.
Berdasarkan ranking jumlah warga asing di Sabah :
- Warga asing di Tawau : 171, 409
- Warga asing di Sandakan : 148,438
- Warga asing di Kinabatangan : 117,689
- Warga asing di Kota Kinabalu : 112,145
- Warga asing di Lahad Datu : 77,003
Kalau orang Kuala Lumpur contohnya, mengadu tidak senang dengan kehadiran & lambakan warga asing, agaknya apa pula perasaan orang Sabah melihatkan jumlah warga asing di negeri mereka ketika ini?
Gambaran warga asing di ibukota
Itu baru statistik warga di Sabah yang telah berjaya direkodkan, yang tidak sah?
Isu warga asing di Sabah bukan baru, tetapi sudah melepasi tempoh 40 tahun lamanya. Kami pasti isu seperti ini adalah isu yang penting bagi rakyat negeri Sabah. Undang-undang di Malaysia sudah tersedia ada, tetapi malangnya penguatkuasaan & dasar yang lemah. Harap kerajaan persekutuan mengambil serius perkara ini. Itu harapan kami
Itu belum masuk lagi berita mengenai kedatangan pekerja asing sekitar 100,000 yang “dibawa khas” dari Nepal?
No comments:
Post a Comment